
Laporan/foto: Siti Nabila Bohari/MEDKOM (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Kerajaan Johor mengambil langkah untuk menangguhkan semua program perhimpunan berskala besar seperti Festival Layang-Layang Antarabangsa dan Karnival Semarak Juara Sukan Malaysia SUKMA 2020 bagi mengelakkan penularan wabak Novel Coronavirus (2019-nCoV).
Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata langkah diambil kira mengikut situasi semasa berhubung penularan wabak ini dan kerajaan memutuskan untuk turut menasihatkan para penganjur lain untuk menangguhkan sebarang aktiviti atau acara yang melibatkan perhimpunan awam berskala besar sepanjang bulan ini.
“Faktor yang dipertimbangkan berkaitan penangguhan ini adalah risiko kepada kesihatan manusia, risiko penyebaran wabak dalam perhimpunan awam berskala besar dan risiko kekurangan keupayaan pengawalan dengan sumber sedia ada.
“Sehingga semalam, sebanyak 20,650 kes jangkitan dilaporkan di seluruh dunia dengan 427 kes kematian direkodkan,” katanya.
Dr Sahruddin berkata selain program anjuran pihak kerajaan, program berskala besar anjuran pihak luar turut dinasihatkan ditangguhkan, antaranya perarakan Thaipusam dan Festival Perarakan Chingay.
“Kerajaan negeri juga mencadangkan kepada orang ramai untuk mengambil langkah spesifik dengan meminimakan pendedahan kepada risiko penyakit dan meningkatkan keupayaan tindakan pencegahan dan kawalan yang lebih efisyen.
“Kerajaan berharap rakyat sentiasa mengambil langkah pencegahan sewajarnya dan sentiasa mengikuti perkembangan dan arahan semasa,” katanya lagi semasa ditemui di sidang media khas di Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar, semalam.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Dr Badrul Hisham Kassim dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu.
-NI-