
Laporan/foto: Siti Nabila Bohari/Mohd Najib Mohaini (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 6 Feb (Malaysiaaktif) – Produk dan Perkhidmatan Kecil dan Sederhana (PKS) di Negara ini telah berada pada asas yang kukuh untuk bergerak kehadapan dan tahun 2020 memberikan ruang serta peluang terbaik untuk PKS menjangkau prestasi yang lebih daripada sebelum ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Sains dan Teknologi Negeri Johor Sheikh ‘Umar Bagharib Ali, Kerajaan Negeri Johor dan agensi-agensi di bawah Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) serta Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) terus komited untuk memudahcara dan membantu usahawan-usahawan PKS secara langsung dan tidak langsung dalam memacu perkembangan PKS negara terutama di Negeri Johor.
“Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi melaksanakan 16 program utama dengan 94 program mini sepanjang tahun 2020 yang meliputi inisiatif-inisiatif berbentuk bantuan dan latihan keusahawanan bagi dimanfaatkan oleh PKS Johor yang mana ia merangkumi 10.8 peratus daripada jumlah keseluruhan PKS di Malaysia.
“Usahawan-usahawan tempatan boleh mengambil peluang ini dalam meningkatkan aspek nilai kebolehan dan kemahiran dalam skop keusahawanan dan memainkan peranan dalam memastikan perniagaan yang diceburi mempunyai tahap kemampanan melalui pembentukkan pelan tindakan pembangunan perniagaan dan mempunyai visi serta misi yang jelas,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Pra-Pelancaran Festival Islam Dan Halal Antarabangsa Johor (FIJO) 2020, semalam
Menurut Sheikh, keusahawanan bukan hanya berdasarkan pada jualan dan keuntungan semata-mata malah ia perlu dititiberatkan dari segi aspek kelebihan produk yang dihasilkan, pengurusan, pemasaran, inventori, penginovasian, teknologi dan pendigitalan.
“Festival Islam dan Halal Antarabangsa Johor (FIJO) 2020 bertujuan memupuk budaya keusahawanan sekaligus mempromosi serta meningkatkan kesedaran tentang produk dan perkhidmatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Program ini mensasarkan pengunjung melebihi 100,000 ribu dan sasaran 400 tapak jualan akan disediakan bagi edisi kali ini,” katanya lagi.
Sheikh turut berharap melalui penganjuran Festival Islam & Halal Antarabangsa Johor 2020 ini, jumlah usahawan di Wilayah Selatan khususnya di Negeri Johor bertambah dan memberi impak yang positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
-NI-