Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Pengurangan Kadar Tol Terima Reaksi Pelbagai

By 6 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Ridhuan Mohd Fadhil Samuel/Zulkifli Ahmad (Kuala Kangsar)

KUALA KANGSAR, 6 Feb (Malaysiaaktif) – Penurunan kadar tol sebanyak 18 peratus kepada pengguna kenderaan lebuh raya milik PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang bermula pada 1 Februari baru-baru ini mendapat reaksi pelbagai daripada masyarakat baik yang bersetuju mahupun yang kurang bersetuju.

Tinjauan Malaysiaaktif di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, rata-rata menyambut positif langkah yang diambil kerajaan.

Menurut pesara, Robiah Osman, 58, dia sangat berpuas hati dengan inisiatif tersebut dalam membantu meringankan beban kos sara hidup zaman kini.

“Saya berpendapat bahawa pihak kerajaan mendengar keluhan rakyat berikutan kos sara hidup yang kian meningkat seterusnya meringankan bebanan yang dihadapi terutama kepada pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tol,” jelasnya.

Rata-rata yang ditemui bersetuju dengan langkah diambil kerajaan dalam membantu meringankan beban hidup rakyat.

Rata-rata yang ditemui bersetuju dengan langkah diambil kerajaan dalam mengurangkan kadar bayaran tol ini.

Pendapat ini turut dipersetujui pelajar, Nurul Ain Izani Zulkifli, 19, yang mendakwa penurunan kadar ini menjadi bukti bahawa kerajaan sedang mengambil langkah awal untuk merealisasikan janji bagi menghapuskan tol.

“Biarpun langkah ini akan dijalankan secara berperingkat, namun pastinya tetap akan meringankan bebanan kewangan yang dihadapi rakyat,” katanya.

Walaubagaimanapun, terdapat juga segelintir orang awam yang kurang bersetuju dengan langkah yang diambil kerajaan ke arah penghapusan tol.

Menurut peniaga, Zulkifli Sabu, 62, kutipan tol inilah yang akan digunakan pihak PLUS untuk membaiki jalan, prasarana di R&R dan sebagainya demi keselesaan pengguna lebuh raya.

“Saya berpendapat bahawa kutipan tol ini membantu dalam penjagaan kawasan lebuh raya bagi kemudahan kita semua.

“Saya bersetuju dengan pengurangan kadar tol tetapi tidak perlu hingga menghapuskannya. Orang ramai perlu faham bahawa kutipan ini adalah kos menyelenggara lebuh raya seterusnya memberi keselesaan bersama,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda