
Laporan/foto: Siti Noorezrin Mahmod/Ramasamy Amas (Jempol)
JEMPOL, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Dalam usaha menjamin kesejahteraan rakyat, kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM100 juta bagi pelaksanaan Skim Peduli Kesihatan Kumpulan B40 (PeKa B40) dalam Belanjawan 2020 yang lalu.
Walaubagaimanapun, masih ramai yang belum peka mengenai manfaat dan cara untuk menyemak kelayakan bagi inisiatif tersebut.
Justeru, Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Kampung Seri Rompin dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Jempol, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rompin menganjurkan program ujian saringan kesihatan bagi membantu masyarakat menikmati manfaat PeKa B40.
Menurut Pengerusi KHM Kampung Seri Rompin, Zarina Sufaat, pihaknya telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi memperluaskan pengetahuan mengenai PeKa B40 kepada masyarakat setempat.
“Sebagai pihak yang bertanggungjawab bagi menyampaikan dasar-dasar kerajaan, kami berperanan dalam memastikan masayarakat tahu mengenai inisiatif ini dan semasa program pertama anjuran KHM Penarikan Jambu Lapan, program seperti ini telah menarik lebih 500 orang peserta dan menyakinkan kami bahawa masih ramai yang tidak mengetahui berkenaan manfaat ini,” ujarnya.
Sementara itu Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Shahnon Mohamad, berkata KHM bertindak sebagai rakan strategik Jabatan Penerangan dalam menyalurkan maklumat kerajaan kepada masyarakat dan program tersebut adalah contoh terbaik yang diusahakan oleh KHM Kg Seri Rompin.
“Peranan Jabatan Penerangan turut diperkasa melalui program Info On Wheels (IOW) dimana pelbagai risalah berkaitan seperti Wabak Novel Coronavirus (2019-nCov), e-Tunai, MySalam, I-Suri dan banyak lagi diedarkan kepada masyarakat bagi memastikan semua bantuan atau maklumat sampai ke akar umbi,” katanya ketika berucap merasmikan program.
Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Jempol, Dr Mohd Muhyiddin Mohd Solahuddin, berkata sasaran bagi tahun 2020 adalah sebanyak 90 peratus penduduk Jempol yang disaring layak menikmati PeKa B40 melalui program outreach yang menawarkan saringan kesihatan terus di setiap program yang diadakan.
“Dalam masa terdekat ini, kami akan adakan program di Felda Lui Selatan dan kami menyasarkan pada bulan Mac akan dapat ke kawasan Felda Palong pula,” tambah beliau lagi.
Program tersebut telah berjaya mengumpulkan lebih kurang 300 orang penduduk tempatan yang layak menerima manfaat PeKa B40.
Turut hadir, Penyelaras DUN Jeram Padang, Musliadi Sabtu, Pegawai Perpaduan Daerah, Rohaizad Md Nor dan pemimpin-pemimpin masyarakat.
-AK