
PUTRAJAYA, 3 Feb (Malaysiaaktif) – Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengiringi Menteri Pertahanan Kedua Brunei Darussalam Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral Datuk Paduka Seri Awang Hasbi Md Yussof yang mengadakan lawatan kerja ke Tawau, Sabah hari ini.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata program lawatan sehingga 4 Feb ini membabitkan kunjungan ke Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) Tawau, penempatan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (TSR) dan Pulau Pandanan, serta tinjauan udara menggunakan helikopter EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke kawasan operasi di Pulau Mataking, Pulau Mantabuan serta Pulau Sibuan.
Menurut kenyataan kementerian, Malaysia dan Brunei mempunyai jalinan dua hala yang rasmi, melalui Memorandum Persefahaman Kerjasama Pertahanan sejak 14 Feb, 1992, dan lawatan kerja pada hari ini memberi peluang untuk kedua-dua negara memperhalusi hubungan strategik sedia ada.
“Hubungan pertahanan kedua-dua negara yang berkembang di peringkat strategik, operasi serta taktikal adalah melalui pelaksanaan latihan atau operasi bersama dan program pertukaran pegawai selain anggota melibatkan angkatan tentera kedua-dua negara.
“Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut menyertai Malaysian Battalion (Malbatt) di dalam misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) sejak tahun 2008, malahan Brunei turut menganggotai Tim Pemantau Antarabangsa (IMT) di Mindanao, Filipina diketuai Malaysia mulai tahun 2004,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan Kementerian Pertahanan itu juga menjelaskan bahawa kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara adalah penting dalam konteks menjaga keamanan dan kestabilan dengan mengambil kira cabaran serta ancaman keselamatan semasa di rantau ini.
Turut bersama pada lawatan hari ini ialah Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Pemerintah ABDB Mejar Jeneral Pengiran Datuk Paduka Seri Aminan Pengiran Mahmud.
– BERNAMA