
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 3 Feb (Malaysiaaktif) – Sebanyak 271 kesalahan dikesan dilakukan peniaga sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2020 dari 20 Jan hingga semalam melibatkan kompaun berjumlah RM36,200.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata 26,872 premis perniagaan borong dan runcit di seluruh negara telah diperiksa dan sejumlah barangan bernilai RM30,324.17 turut dirampas dalam tempoh yang sama.
“Daripada 271 kesalahan itu, enam adalah kes menjual melebihi harga maksimum, 217 kes tidak mempamerkan tanda harga khas dan 48 kes tidak mempamerkan tanda harga,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP itu, 2,300 pegawai penguatkuasa kementerian telah melakukan pemantauan setiap hari di premis-premis perniagaan bagi memastikan peniaga mematuhi harga kawalan ditetapkan.
SHMMP Tahun Baharu Cina kali ini telah ditambah baik dengan tambahan tempoh kawalan daripada 10 hari kepada 14 hari serta tambahan barangan kawalan daripada 13 kepada 16 barangan keperluan utama.
Menurut Saifuddin, pegawai-pegawai penguatkuasa kementerian itu akan meneruskan pemantauan bagi menangani sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 walaupun SHMMP berkenaan sudah tamat.
Dalam pada itu, beliau menyeru para pengguna untuk peka dan membuat aduan melalui sembilan saluran aduan kementerian, termasuk WhatsApp ke nombor 019-2794317 sekiranya mengesan sebarang kenaikan harga tidak munasabah.
Beliau juga menyarankan pengguna memuat turun aplikasi perbandingan harga yang dibangunkan KPDNHEP iaitu “Price Catcher” bagi membuat perbandingan harga dan mendapatkan nilaian terbaik untuk setiap pembelian mereka.
– BERNAMA