
Laporan/ foto: Tengku Saipulah Tengku Mohd (Kuala Nerus)
SEBERANG TAKIR, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Bagi menampung bilangan jemaah yang semakin ramai dalam kalangan warga tentera dan masyarakat setempat, sebuah masjid baharu yang bernilai RM5 juta bakal dibina di Kem Sri Pantai 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) (Para) di Seberang Takir untuk menggantikan masjid Kem Sri Pantai yang telah berusia 40 tahun.
Pembinaan masjid baharu ini dijangka dimulakan pada Ogos tahun depan dan mampu menampung lebih dari 1, 000 jemaah berbanding 900 jemaah pada ketika ini.
Pada majlis tersebut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali telah menyerahkan replika cek bernilai RM5 juta kepada Menteri Besar Negeri Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam pada itu, menurut tentera, Firdaus Abdul Latif, 26 pembinaan baru masjid ini merupakan tanda keprihatinan kerajaan persekutuan dalam usaha memberi keselesaan kepada tentera di sini.
“Inisiatif ini membolehkan pihak pengurusan merancang dan merencana program-program berskala besar yang melibatkan masjid pada masa akan datang,” katanya.

Firdaus Abdul Latif, 26 memberitahu pembinaan masjid baharu tanda keprihatinan kerajaan kepada rakyat
Seorang lagi warga tentera Nik Roslan Nik Mat, 25 berkata dengan terlaksananya projek itu, ia akan memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya dalam memberi keselesaan kepada para jemaah masjid.
Menurutnya lagi, usaha ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan dalam meningkatkan syiar Islam dalam kalangan tentera dan masyarakat setempat.
Dalam pada itu, kerja-kerja pembinaan masjid baharu secara keseluruhan berkeluasan 1.4 hektar dan hanya berjarak 500 meter dari lokasi sekarang.
Masjid lama ini akan dijadikan ruang kelas pengajian bagi anak-anak tentera pada masa akan datang.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali menyampaikan ucapan setelah selesai solat jumaat, baru-baru ini
Turut hadir pada majlis ialah ialah Pegawai Pemerintah Kem Seri Pantai 18 RAMD, Leftenan Kolonel Syed Suhairi Syed Hussin.
-ii-