Laporan/foto: Muhamad Nawawi Kasa/Azam Mat Nawi (Pendang)
PENDANG, 20 Feb (Malaysiaktif) – Langkah empat buah sekolah di daerah sini berganding tenaga menggempur bakat kepemimpinan masa depan selaras dengan matlamat Program Kem Kepimpinan Cilik (PROPES) dilihat platform terbaik melahirkan lebih ramai pemimpin masa depan yang berkarisma.
Penolong Pegawai Pendidikan Perancangan Daerah Pendang Jasni Sumadi, berkata menjadi satu tanggunjawab bagi warga pendidik untuk bersama-sama melahirkan pemimpin-pemimpin masa depan negara.
“Setiap pelajar perlu menanam sikap jatidiri yang kukuh dalam diri dan diharapkan dapat memberi pemahaman dan pengetahuan yang komprehensif kepada pelajar serta seluruh warga sekolah, agar bertindak secara holistik dalam melahirkan lebih ramai pemimpin masa depan yang berkrisma,” katanya ketika merasmikan program tersebut, di sini semalam.
Menurut Pengarah Strategik Pencuri Markah, Azhar Abdullah, 49, program berkonsepkan kendiri dalam melihat cara pelajar menggunakan minda mereka untuk menyelesaikan sesuatu masalah adalah lebih berkesan.
“Konsep yang digunakan melalui kaedah Sains dan Matematik dalam bentuk permainan yang direka selari dengan peperiksaan UPSR dan SPM lebih mendapat perhatian pelajar,” katanya.
Muhammad Izzul Hasim Kamis, 12, gembira dapat menyertai program sebegini yang memberikan pengetahuan baharu kepada pelajar sepertinya.
“Saya teruja dipilih menyertai kem ini kerana merasa satu kepuasan mendapat ilmu pengetahun baharu dalam membentuk jati diri yang boleh dijadikan contoh tauladan kepada rakan-rakan sebaya yang lain,” ujar pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jenun ini.
Seramai 124 pelajar dari SK Bukit Genting, SK Bukit Jenun, SK Hj Mat Dahan dan SK Model Khas Bukit Jenun terlibat dalam program ini.
-SH