Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

ADUN Diingat Tidak Kucar-kacir Pentadbiran Selangor – Sultan

By 16 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Luqman Hakim (Shah Alam)

SHAH ALAM, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya tidak mengucar-kacirkan pentadbiran negeri tersebut.

Titah baginda, semua ADUN perlu memberi fokus kepada permasalahan rakyat yang ketika ini sedang menghadapi kesempitan dan kos sara hidup yang semakin menghimpit.

“Beta tidak mahu ada dalam kalangan ahli-ahli Yang Berhormat mempunyai hasrat dan niat untuk mengucar-kacirkan pentadbiran dan pemerintahan negeri Selangor

“Beta mengharapkan satu kerjasama yang erat dapat dijalinkan antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan.

“Beta tidak mahu disebabkan perbezaan tampuk pemerintahan dan ideologi politik akan menyebabkan Rakyat Negeri Selangor terpinggir dalam arus pembangunan sosio ekonomi” titah baginda.

Titah baginda, ahli politik dilihat sering berbalah dalam isu politik yang tiada kesudahan sehingga melupakan tanggungjawab sebenar mereka untuk melaksanakan amanah untuk mentadbir faedah kesejahteraan rakyat

“Rakyat penat dan gelisah melihat pergolakan politik yang melanda negara selepas pilihan raya umum ke-14, sedangkan rakyat berdepan kemelesetan ekonomi dan wabak COVID-19.

“Rakyat memerlukan tumpuan ADUN bagi menghadapi krisis, perkara itu hanya dapat ditangani melalui pertumbuhan ekonomi dan dasar yang menguntungkan rakyat,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal ketiga Dewan Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Turut hadir, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

-NAZ

Tinggalkan komen anda