Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Sarawak Kuat Kuasa Perintah SHN Mulai Rabu Ini – Abang Johari

By 16 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Baharruddin Mohamad/Jaed Tepus (Sarawak)

KUCHING, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, menegaskan semua pelawat yang berkunjung ke negeri ini termasuk rakyatnya sendiri yang pulang ke negeri itu akan dikenakan notis duduk di rumah (SHN) berkuat kuasa Rabu ini.

“Notis selama 14 hari ini akan berkuatkuasa pada 18 Mac 2020,
setelah dalam tempoh tiga hari lepas Sarawak mencatatkan 34 kes positif COVID-19.

“Kerajaan negeri telah membuat langkah-langkah kawalan berikut untuk mengelakkan peningkatan COVID-19,”
katanya ketika sidang media khas petang tadi di Wisma Bapa Malaysia, di sini.

Menurut Abang Johari, agensi-agensi berkaitan akan memantau pemegang SHN melalui lawatan rawak, panggilan telefon dan aplikasi teknologi moden.

“Pengecualian hanya diberikan kepada mereka yang dikehendaki untuk melakukan perjalanan bawah keadaan khas seperti tugas rasmi dan perniagaan.

“Semua program rasmi kerajaan negeri, yang melibatkan lebih daripada 50 orang akan dibatalkan atau ditangguhkan sehingga notis selanjutnya dikeluarkan dan semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika), Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Sekolah Tahfiz serta Universiti Awam dan Swasta diarahkan tutup selama dua minggu berkuatkuasa esok,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Abang Johari menasihatkan orang ramai supaya berhenti menyebarkan berita palsu di platform media sosial.

“Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap mereka yang didapati bertanggungjawab untuk berbuat demikian,” tambahnya.

-SH

Tinggalkan komen anda