Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Batu 21 Hingga Batu 24 Sungai Lui Diarah Jalani PKPD Mulai Malam Tadi

By 30 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) arahan kedua selepas Simpang Renggam, di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor selepas terdapat sebanyak 71 kes positif jangkitan COVID-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PKPD ini melibatkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 rumah, termasuk tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.

“Perintah ini berkuatkuasa mulai tengah malam tadi hinggalah 13 April nanti, bertujuan membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut dan langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

“Dengan pelaksanaan perintah ini, semua penduduk dan pelawat yang berada di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan manakala bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Menurut Ismail Sabri, bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan dengan semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda