Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/KKM
PUTRAJAYA, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 150 kes COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif wabak tersebut di negara ini adalah sebanyak 2,470 kes dengan seramai 73 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah tersebut, 52 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Dukacita dimaklumkan bahawa sehingga kini, terdapat pertambahan tujuh kes kematian baharu dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 34 kes,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan petang tadi.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham, memaklumkan bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkatkan kapasiti ujian pengesanan COVID-19; Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menyediakan 10 makmal diagnostik tambahan di institusi pengajian tinggi, hospital pengajar universiti (HPU), termasuk satu makmal bergerak yang boleh dihantar ke kawasan hotspot.
“Kesemua 10 makmal diagnostik tambahan ini akan dapat melaksanakan 42,420 ujian pengesanan sebulan atau 1,414 sehari,” katanya lagi.
Dr Noor Hisham, turut mempelawa lebih ramai sukarelawan untuk tampil menyertai pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19 dengan mengisi Borang Pendaftaran Anggota Sukarelawan Pasukan Bantuan Kesihatan dan Perubatan COVID-19 di laman sesawang Facebook KKM.
“Sehingga hari ini, seramai 157 sukarelawan telah menyertai dan ditugaskan sebagai sukarelawan yang ditempatkan secara berperingkat untuk membantu pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19. Sejumlah 1,008 orang lagi bakal menyertai pasukan perubatan di hospital, terdiri daripada pelbagai profession perubatan,” tambahnya.