Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahGlobalHome

COVID-19: Angka Korban Seluruh Dunia Hampiri 11,500

By 22 Mac 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Ketika jumlah kematian global sudah menghampiri 11,500 orang, pegawai kesihatan seluruh dunia mengumumkan kes baharu COVID-19 terus bertambah, lapor agensi berita Anadolu.

Negara yang mencatat kematian tertinggi adalah Itali dengan 4,032 maut setakat ini, selepas mengatasi angka korban yang dicatatkan China pada minggu ini.

Tanah Besar China, tempat wabak itu mula dikesan pada Disember lalu, di tempat kedua dengan 3,255 orang. Iran sehingga kini melaporkan 1,433 kematian.

Australia melaporkan jumlah kes COVID-19 meningkat kepada 1,051, apabila menyatakan, 300 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

Menteri Kesihatan Singapura, Gan Kim Yong, berkata jumlah kes di negara itu meningkat kepada 385 selain melaporkan dua kematian membabitkan wanita tempatan berusia 75 tahun dan seorang warga Indonesia.

Pegawai Kesihatan Maghribi berkata, jumlah kes di negara itu naik kepada 86 termasuk tujuh orang yang baru pulang dari luar negara.

Pada Jumaat, Maghribi mengisytiharkan darurat ekoran penularan wabak berkenaan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Paraguay mengumumkan menerusi Twitter, seorang lelaki 69 tahun meninggal dunia akibat wabak itu selepas mendapat rawatan di unit rawatan rapi.

Media tempatan melaporkan, jumlah kes di negara itu adalah 18.

Presiden Mario Abdo Benitez mengumumkan tempoh kurantin bermula 10 Mac hingga 4 April dilanjutkan sehingga 12 April.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda