Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Projek SejaTi MADANI Bersama PTSS Jamin Kesejahteraan Rakyat

By 6 Julai 2026Julai 7th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

ARAU, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Projek Penternakan Belut Komersial menerusi Geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) bernilai RM500,000 bersama Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) berupaya menjamin kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.

Pengarah PTSS Ts. Khairul Anuar Ishak berkata pendekatan yang menggabungkan agensi kerajaan, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), inkubator dan komuniti mampu memperkukuh pelaksanaan projek pembangunan ekonomi yang lebih mampan.

“Geran SejaTi MADANI bukan sekadar menyediakan pembiayaan, malah membentuk ekosistem kerjasama yang menggabungkan kepakaran pelbagai pihak bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti.

“Penglibatan PTSS sebagai institusi TVET serta Dagang Pro Ventures bersama rakan-rakan inkubator mewujudkan satu model pembangunan komuniti yang berpotensi dijadikan amalan terbaik di peringkat nasional,” katanya ketika berucap pada peluncuran berkenaan di Bilik Cenderawasih, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), di sini pada Rabu.

Azlan meninjau Projek Penternakan Belut Komersial yang diusahakan oleh Persatuan Komuniti Kuarters PTSS.

Menurut Khairul penglibatan bersama ICU JPM Perlis, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perikanan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta beberapa rakan industri dalam projek berkenaan membuktikan peranan TVET bukan sahaja sebagai pusat pendidikan, malah sebagai pemangkin pembangunan komuniti melalui pemindahan ilmu dan teknologi.

“Kerjasama ini mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan, kerajaan, industri dan komuniti dalam membangunkan ekonomi setempat secara mampan, di samping memperlihatkan bagaimana kepakaran TVET dapat dimanfaatkan secara langsung bagi meningkatkan kapasiti komuniti melalui latihan, bimbingan teknikal dan inovasi,” katanya.

Pelaksanaan Projek Penternakan Belut Komersial yang dijangka menjadi model rujukan pembangunan komuniti berasaskan akuakultur serta memperkukuh agenda pemerkasaan ekonomi rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

-RI

Tinggalkan komen anda