Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Inisiatif Ihsan Johor, Keperihatianan Kerajaan Negeri Terhadap Rakyat

By 21 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Shah Hood/MEDKOM (Johor Bahru)

KOTA ISKANDAR, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri mengumumkan beberapa insentif bagi mengurangkan impak ekonomi yang dialami melalui Inisiatif Ihsan Johor kepada rakyat yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, kerajaan negeri sedar akan implikasi ekonomi yang dirasai oleh rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan yang sedikit sebanyak meminimakan rutin hidup seharian.

“Atas kesedaran itu, Kerajaan Negeri Johor ingin mengumumkan beberapa inisiatif yang boleh meringankan impak ekonomi yang dialami semua pihak.

“Insentif yang diumumkan antaranya ialah bantuan sekali beri berjumlah RM1,000 kepada semua pesakit yang positif COVID-19 dan RM 2,000 kepada setiap keluarga waris mangsa yang meninggal dunia akibat COVID-19 di negeri ini,” katanya pada Sidang Media Inisiatif Ihsan Johor, di sini semalam.

Tambah beliau, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) juga akan  memberi bantuan segera kepada golongan asnaf, fakir dan miskin yang terkesan dengan wabak ini.

“Pengecualian bayaran sewa premis juga diberikan kepada para peniaga yang menyewa premis milik Pihak Berkuasa  Tempatan (PBT) dan pasar serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Johor yang beroperasi di premis milik kerajaan negeri yang diuruskan oleh Perbadanan Usahawan Negeri Johor bermula pada bulan April hingga Disember 2020,” ujarnya.

Hasni turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk memberikan peruntukan secara sekali beri sebanyak RM20,000 kepada semua 56 Ahli Yang Berhormat Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk wakil rakyat daripada pihak pembangkang.

“Gaji kakitangan kerajaan negeri yang berstatus Pekerja Sambilan Harian (PSH) turut akan dibayar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyeru dan berharap rakyat Johor dapat akur dan patuh kepada segala larangan, sekatan dan penutupan premis semasa Perintah Kawalan Pergerakan sedang dilaksanakan.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Kerajaan Tempatan, Ayub Jamil dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Zaiton Ismail.
-NI-

Tinggalkan komen anda