
Laporan/foto: Mohd Afnan Hakimi Ab Aziz (Marang)
Marang, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Hasil pemantauan Majlis Daerah Marang (MDM) mendapati pematuhan orang awam terhadap penjarakan sosial, khususnya di daerah Marang masih berada pada tahap yang sangat rendah, terutamanya di pasar raya dan pasar awam.
Pengunjung yang telah selesai melakukan pembelian dilihat masih berkumpul dan tidak terus beredar, kebanyakannya di perkarangan pasar awam.
Yang Dipertua MDM, Mohd Huzairil Hizam Ibrahim, berkata pihaknya sentiasa memantau dan memberikan amaran lisan kepada orang awam dan peniaga yang masih ingkar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan 18 Mac lalu.
“Pihak MDM telah menempatkan pegawai-pegawai penguatkuasa di semua pasar awam di daerah Marang bagi mengawal jarak selamat satu meter seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Penguatkuasa juga ditugaskan untuk memantau pergerakan keluar masuk orang ramai ke pasar awam, dan kami menggunakan sistem giliran bagi menghadkan kemasukan orang ramai dalam satu-satu masa bagi mengekang penularan jangkitan wabak COVID-19 ini,” katanya yang ditemui semasa pemantauan dilakukan, di sini semalam.
Mohd Huzairil turut berharap agar masyarakat sentiasa patuh dengan arahan daripada pihak berkuasa dan paling penting perlu ada kesedaran sendiri, beli apa yang patut dan terus pulang ke rumah.
-ii-