Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Warga KKMM Perlu Profesional, Progresif – KSU

By 3 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 3 Mac (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) memerlukan warga kerja yang profesional, progresif, kreatif, inovatif, berketerampilan, bijaksana yang holistik, untuk bersama-sama menjayakan semua dasar kerajaan, kata Ketua Setiausaha kementerian Datuk Suriani Ahmad.

Beliau menyeru warga kerja KKMM untuk terus memberikan perkhidmatan yang efektif, berakauntabiliti, amanah dan progresif, seiring dengan kepesatan transformasi kemajuan teknologi dan era digital kini yang mampan.

“Marilah kita semua berganding bahu, melangkah bersama membina negara kita Malaysia ke arah masyarakat yang terhubung, berinformasi, kreatif dan berbudaya digital, yang aman makmur untuk dinikmati bersama,” katanya.

Berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 KKMM di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini hari ini, Suriani berkata tempoh masa yang lama dalam perkhidmatan, bukanlah jaminan seseorang itu perlu dinaikkan pangkat.

“Zaman ‘seniority’ mendahului dalam proses kenaikan pangkat sudah berlalu. Prestasi, kompetensi, efisiensi dan ilmu, itu sentiasa dinilai dalam pelbagai kaedah,” katanya.

Suriani berkata dalam menghadapi ekosistem pembangunan negara yang semakin mencabar dan kompleks, penjawat awam perlu melengkapkan diri dengan keupayaan berfikir dan membuat keputusan dengan cepat, tepat dan bijaksana.

“Usaha-usaha menimba ilmu harus dipertingkatkan dan diteruskan sepanjang perkhidmatan kita. Ilmu adalah senjata yang membuka pintu pengetahuan yang begitu luas dan menjadikan kita lebih baik dari orang lain,” katanya.

Mengenai APC yang disampaikan hari ini, Suriani berkata penganugerahan yang diberikan menunjukkan bahawa setiap pengorbanan dan sumbangan yang diberikan semasa berkhidmat dalam perkhidmatan awam, sentiasa dihargai dan tidak pernah dilupakan kerajaan.

Seramai 638 petugas KKMM yang terdiri daripada warga kerja jabatan dan agensi di bawahnya termasuk Bernama menerima APC hari ini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda