Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Pelbagai Inisiatif Diperkenalkan Bagi Perkasakan Wanita

By 7 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)

KUCHING, 7 Mac (Malaysiaaktif) – Pelbagai inisiatif dan dasar telah diperkenalkan kerajaan negeri khas untuk wanita dalam bidang keusahawanan melalui Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif dan dasar yang disediakan ini secara langsung dapat memperkasakan peranan wanita dan seterusnya melahirkan usahawan wanita yang berjaya suatu masa kelak.

“Saya melihat sendiri dan berinteraksi dengan wanita yang telah berjaya dalam menguruskan perniagaan mereka.

“Perniagaan yang dilakukan secara kecil dan sederhana mampu memberikan pulangan pendapatan yang baik kepada usahawan wanita berkenaan dan pada masa yang sama perniagaan yang dijalankan beliau telah berkembang sehingga menembusi pasaran antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Sarawak Women X: Global Innovative Entrepreneurship in Conjunction with International Women’s Day 2020, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri turut menyediakan peruntukkan sebanyak RM500,000 pada tahun 2018 dan peruntukkan ini telah memberi manfaat kepada seramai 100 orang usahawan wanita di Sarawak.

Abang Johari (tengah) berinteraksi dengan salah seorang usahawan wanita ketika lawatan Pameran Usahawan Wanita KWKPK Sarawak, di sini.

Abang Johari (tengah) berinteraksi dengan salah seorang usahawan wanita ketika lawatan Pameran Usahawan Wanita KWKPK Sarawak, di sini.

“Jumlah peruntukkan ini telah dinaikkan kepada RM1 juta pada tahun 2019 dan seramai 200 orang usahawan wanita mendapat manfaat daripada peruntukkan yang disediakan pada tahun tersebut.

“Manakala, bagi tahun 2020 pula, peruntukkan sebanyak RM2 juta telah disediakan oleh kerajaan negeri yang bakal memberikan manfaat kepada seramai 400 orang usahawan wanita yang ada di negeri ini,” katanya lagi.

Selain itu, Abang Johari yakin kepada peranan serta kewibawaan KWKPK Sarawak kerana komited menggalakkan wanita agar terlibat secara langsung dalam bidang keusahawanan melalui peruntukkan yang disalurkan.

“Perniagaan berasaskan penggunaan teknologi terkini amat penting dalam melahirkan usahawan wanita yang berjaya kerana penggunaan teknologi seperti pemasaran secara dalam talian secara langsung dapat membantu usahawan wanita dalam memasarkan produk-produk keluaran mereka.

“Selain itu, penggunaan teknologi ini akan secara langsung mengubah teknik pemasaran yang lebih berkesan dan dapat meningkatkan pendapatan usahawan,” tambahnya.

-SH

Tinggalkan komen anda