Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Dicabar Keluarga Pembakar Semangat Cemerlang SPM

By 8 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 8 Mac (Malaysiaaktif) – Cabaran yang dilontar Ibu bapa membakar semangat Dahlia Farisah Derin, 18, untuk mencapai keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019.

Pelajar Sekolah Menengah St. Anthony itu dicabar untuk mengikut jejak langkah abang serta kakaknya yang turut cemerlang dalam pelajaran.

“Ibu bapa saya memang mengharapkan saya mengikut jejak langkah abang dan kakak saya yang juga cemerlang dalam SPM dan hari ini saya rasa sangat bersyukur serta lega atas keputusan ini.

“Saya ingin berterima kasih kepada guru dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan kepada saya walaupun kadang-kala timbul perasaan tidak yakin dengan diri sendiri,” katanya yang ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2019, Jabatan Pendidikan Labuan, di sini baru-baru ini.

Dahlia tekad ikut jejak langkah abang serta kakaknya yang turut cemerlang dalam pelajaran.

Dahlia tekad ikut jejak langkah abang serta kakaknya yang turut cemerlang dalam pelajaran.

Dahlia yang juga bekas Pengerusi Kelab Malaysiaku sekolahnya menasihatkan calon-calon SPM akan datang agar bijak memilih rakan sebaya.

“Pilihlah kawan yang ingin belajar bersama, memberi semangat serta nasihat kepada kita agar kita tidak hilang fokus dalam pelajaran,” katanya yang bercita-cita ingin menjadi seorang pendidik.

Manakala seorang lagi pelajar cemerlang SPM 2019, Nurin Anis Farihah Mohd Azid, 18, percaya kepada tumpuan 100 peratus semasa guru mengajar menjadi kunci kejayaannya.

“Setiap perkara yang diberi cikgu akan saya catat dan ajar semula kepada rakan-rakan yang memerlukan bantuan.

Pelajar mendapatkan slip keputusan masing-masing.

Pelajar mendapatkan slip keputusan masing-masing.

“Alhamdulillah kedua ibu bapa saya memberi sokongan sepenuhnya dan tidak kisah samaada saya dapat semua A atau tidak, mereka hanya mahu saya berjaya di dunia dan akhirat,” kongsi bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Labuan ini ketika ditemui.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Raisin Saidin, berkata daripada 964 orang calon SPM 2019, seramai 871 orang calon layak mendapat sijil dengan jumlah peratus 90.35 peratus.

“Pada tahun 2019, pencapaian sekurang-kurangnya cemerlang A- dalam semua mata pelajaran adalah seramai 12 orang calon bersamaan 1.24 peratus.

“Secara keseluruhan, bagi calon SPM 2019 di setiap sekolah kerajaan amat memberangsangkan, daripada 35 mata pelajaran, 15 mata pelajaran telah mencapai tahap lulus 100 peratus,” jelasnya.

-SH

Tinggalkan komen anda