Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pengarusperdanaan Gender Mengangkat Martabat Wanita Dalam Semua Bidang

By 11 Mac 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Elin Azlin Kamarulzaman (Shah Alam)

SHAH ALAM, 11 Mac (Malaysiaaktif) – Selangor menjadi negeri pertama menerapkan Pengarusperdanaan Gender untuk mengangkat martabat wanita sebagai keutamaan.

Pengarusdanaan adalah usaha dan satu proses untuk mewujudkan keseimbangan gender dalam pembangunan negeri termasuk pembentukan dasar, program, projek, pembuatan keputusan serta belanjawan agar ia menjadi lebih tersasar, menyeluruh dan inklusif.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata Pengarusperdanaan Gender akan menyokong dan menggalakkan lebih ramai wanita melibatkan diri dalam semua bidang.

“Pengarusperdanaan Gender akan menyokong dan menggalakkan lebih ramai wanita untuk libatkan diri dalam semua bidang ke arah usaha membina negeri.

“Malaysia di tangga 104 daripada 153 dalam Global Gender Gap Index 2020 berbanding negara Laos serta Vietnam di tangga 43 dan 87, sementara tempat pertama adalah negara Iceland,” katanya.

Katanya, kadar tenaga kerja golongan wanita semakin meningkat berbanding sebelum ini yang menunjukkan peningkatan dalam Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (LFPR).

“Kadar tenaga kerja golongan wanita meningkat lebih kurang satu peratus pada suku tahun ketiga 2019, namun masih berada tahap rendah iaitu hanya 55.2 peratus berbanding golongan lelaki (80.4 peratus).

Amirudin (tiga dari kanan) menyerahkan watikah pelantikan kepada Kumpulan Tumpuan Gender.

Amirudin (tiga dari kanan) menyerahkan watikah pelantikan kepada Kumpulan Tumpuan Gender.

“Kajian yang dijalankan oleh Khazanah Research Institute (KRI) pada Tahun 2018 menunjukkan bahawa terdapat peningkatan 30 peratus dalam LFPR golongan wanita,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran dan Penyerahan Watikah Lantikan Pengarusperdanaan Gender Negeri Selangor Tahun 2020 di Hotel Concorde, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud, agensi-agensi kerajaan dan swasta di negeri Selangor.

Sementara itu, Dr Siti Mariah berkata pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan wanita amat relevan kerana mereka merupakan tulang belakang bagi memberdayakan pelbagai agenda termasuk membangun dan memajukan negeri.

“Wanita hari ini lebih bersedia dengan ilmu pengetahuan yang menjadi panduan dan pengimbang dalam pembuat keputusan di dalam sesebuah organisasi.

“Manfaat Pengarusperdanaan Gender akan menjadikan Indeks Kebahagian Masyarakat meningkat sekiranya segala jurang ketidaksamaan gender dapat ditangani.

“Kajian oleh Helliwell tahun 2016 menunjukkan semakin rendah jurang ketidaksamaan gender sesebuah negara, semakin tinggi Indeks Kebahagian,” katanya.

Antara pengisian penyerahan watikah pelantikan Kumpulan Tumpuan Gender dan edaran buku ‘Himpunan Cerita Tokoh Wanita Berdaya’, kisah-kisah inspirasi wanita seperti pejuang kemerdekaan, Tan Sri Aishah Ghani, Pakar Astrofizik Pertama Malaysia Datuk Dr Mazlan Othman serta ramai lagi.

-NAZ

 

 

Tinggalkan komen anda