
PUTRAJAYA, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Seorang kelindan lori dan seorang pelajar tingkatan empat ditahan polis semalam, selepas didapati ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan, bagi memutuskan penularan wabak COVID-19.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua suspek lelaki yang berusia 19 dan 16 tahun itu yang menaiki sebuah motosikal tanpa memakai topi kaledar, ditahan pada pukul 9 malam oleh dua anggota polis yang sedang menjalankan rondaan pemeriksaan Perintah Kawalan Pergerakan, di Jalan Batu 3, di sini.
“Semasa cuba menahan, suspek enggan memberhentikan motosikal yang ditungganginya. Bagaimanapun polis berjaya menahan suspek berdekatan sebuah kuil di Dataran Segar, iaitu lebih kurang 50 meter daripada tempat kejadian.
“Semasa ditahan, suspek telah menghalang polis daripada membuat pemeriksaan ke atasnya, dan enggan memberikan kerjasama dengan bertindak dengan kasar serta mempertikaikan kuasa polis untuk menahannya, semasa di dalam tempoh PKP,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Aidi Sham berkata, ketika pemeriksaan juga kedua-dua suspek telah gagal mengemukakan kad pengenalan diri.
Katanya, kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 270 Kanun Keseksaan, Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
— BERNAMA