Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Rakyat Terkesan PKP Terima Sumbangan

By 26 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: Nursaliza Shapie/ Shahrossalleh (Jerantut)

JERANTUT, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Pusat Khidmat ADUN Tahan telah mengedarkan sumbangan barangan keperluan harian kepada penduduk kampung yang hilang punca pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac hingga 14 April 2020, bagi tujuan memutuskan rantaian penularan Virus COVID-19.

Menurut ADUN Tahan, Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin, sumbangan adalah berbentuk barangan keperluan harian seperti beras, gandum, gula dan minyak masak.

Beliau begitu sebak melihat ada antara penerima sumbangan yang mengalirkan air mata ketika menerima sumbangan barangan keperluan tersebut. Walaupun sumbangan itu kecil namun amat bermakna kepada mereka dan dapat digunakan oleh seisi keluarga sepanjang tempoh PKP dijalankan.

Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri bagi melanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April 2020 adalah cabaran yang sangat besar buat mereka yang bekerja sendiri dan bekerja secara gaji harian. Beliau berharap agar Allah s.w.t membuka pintu hati para dermawan di luar sana untuk terus menyumbang agar beliau dan rakan-rakan dapat meneruskan aktiviti penyampaian sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Penolong Pegawai Daerah Jerantut, Afiq Radzuan turut menyampaikan Bantuan Kerajaan Negeri Pahang kepada para penjaja kecil dan peniaga pasar malam yang tidak boleh berniaga pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan.

“Seramai 113 orang penjaja kecil, peniaga pasar malam dan penyewa kedai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di DUN Tahan yang menerima sumbangan tersebut. Mereka ini adalah yang berdaftar di bawah Majlis Daerah Jerantut,” katanya.

Beliau memaklumkan sumbangan ini adalah untuk meringankan bebanan yang ditanggung mereka dalam menyediakan keperluan harian untuk keluarga setelah mereka tidak berniaga serta menjejaskan sumber pendapatan.

Menurut salah seorang penerima sumbangan, Hasnah Ibrahim, beliau begitu bersyukur dengan sumbangan yang diterima dan amat berterima kasih kepada pihak yang memberi sumbangan.

Katanya, keprihatinan pihak Kerajaan Negeri Pahang dalam membantu mereka yang terkesan dalam masa (PKP) ini amatlah dihargai. Beliau berharap dalam tempoh PKP ini, rantaian penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan dan membolehkan semua menjalani aktiviti kehidupan harian seperti biasa.

ADUN Tahan, Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin menyampaikan sumbangan bersama Penolong Pegawai Daerah Jerantut.

ADUN Tahan, Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin menyampaikan sumbangan bersama Penolong Pegawai Daerah Jerantut.

-KN

Tinggalkan komen anda