Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

COVID-19 : Johor Umum 15 Insentif Baharu

By 26 Mac 2020Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto : Siti Nabila Bohari/MEDKOM (Johor Bahru)

ISKANDAR PUTERI, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri telah mengumumkan 15 insentif baru dengan peruntukan sebanyak RM17.5 juta yang dijangka memberi impak positif kepada semua pihak bagi meringankan beban rakyat negeri ini yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, insentif  ini termasuk peruntukan khas berjumlah RM500 ribu bagi pembelian peralatan tambahan dan keperluan utama lain yang akan diselaraskan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor bagi menangani wabak ini.

“Kerajaan negeri juga bersetuju menyediakan keperluan makanan untuk pasukan polis dan tentera yang bertugas di barisan hadapan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bantuan ini akan diselaraskan oleh Pejabat-Pejabat Daerah dengan menggunakan peruntukan Tabung Bencana Negeri Johor membabitkan kos sebanyak RM200 ribu,” katanya semasa sidang media yang diadakan di Kota Iskandar, di sini, semalam.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut memberi pengecualian bayaran sewa rumah dan kedai kepada penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) yang akan memberi manfaat kepada 2,989 penyewa.

“Insentif ini diberikan bermula bulan April hingga Jun 2020 dengan pengecualian diberikan kepada penyewa yang telah menduduki PPR dan RSK sebelum bulan Februari 2020 dengan kos anggaran sebanyak RM4.8 juta.

“Kerajaan negeri turut membantu golongan B40 yang telah membeli Rumah Mampu Biaya Johor Jenis A di bawah Skim Perumahan Prihatin Johor (SPPJ) menerusi Belanjawan Johor 2020 dengan menangguhkan pembayaran balik skim sewa milik ini selama enam bulan bagi individu yang layak kerana hilang mata pencarian,” ujarnya.

Hasni turut memaklumkan, pelaksanaan program bank makanan turut diperluaskan melibatkan penggandaan peruntukkan dari RM600 ribu kepada RM1.2 juta dengan tujuan untuk membekalkan makanan keperluan harian kepada golongan B40 khususnya penerima bantuan e-kasih, asnaf zakat dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sebelum ini, pengecualian bayaran sewaan premis kepada peniaga-peniaga yang menyewa premis milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pasar awam serta peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negeri Johor yang beroperasi di premis milik kerajaan negeri yang diuruskan oleh Perbadanan Usahawanan Negeri Johor telah diumumkan yang melibatkan pengecualian bermula April hingga Disember 2020.

“Kerajaan negeri turut bersetuju memberi insentif tambahan mengecualikan bayaran lesen perniagaan kepada peniaga kecil kategori ini selama setahun bermula Januari hingga Disember 2020 yang turut diperluaskan kepada PKS kategori mikro yang berdaftar dan memiliki lesen perniagaan dengan PBT di seluruh negeri Johor iaitu sebanyak 11,737,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, sebuah Pasukan Bertindak Ekonomi Negeri Johor atau Johor Economic Taskforce (JET) diwujudkan bagi menyelaras segala bentuk integrasi maklumat dan pelan tindakan di dalam menangani kesan ketidaktentuan ekonomi global dan wabak COVID-19 yang akan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan dianggotai oleh jabatan, agensi dan pihak-pihak yang berkaitan.

“Kerajaan negeri akan sentiasa mengenalpasti insentif-insentif tambahan yang akan diumumkan dari semasa ke semasa bagi membantu mengurangkan beban yang dihadapi oleh rakyat negeri Johor dan pihak-pihak yang terjejas akibat penularan wabak COVID 19,” katanya.

Terdahulu, enam insentif telah diumumkan pada 20 Mac 2020 lalu melibatkan peruntukan sebanyak RM12.5 Juta.
-NI-

Tinggalkan komen anda