Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Sektor Pembuatan Kritikal Beroperasi, Jamin Keperluan Rakyat Tidak Terjejas – Mohamed Azmin

By 19 Mac 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 19 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan meluluskan sektor pembuatan kritikal boleh beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi memastikan keperluan dan perkhidmatan asas rakyat tidak terjejas.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata walaupun kelulusan itu penting dalam memastikan bekalan tidak terputus, namun terdapat garis panduan ketat kepada pihak industri pembuatan dalam memastikan kualiti produk terjamin demi kesejahteraan rakyat.

“Garis panduan ini termasuk social distancing dan proses sanitasi perlu diamalkan bagi pekerja dalam sektor pembuatan,” katanya menerusi satu catatan dalam laman rasmi Facebooknya, hari ini.

Beliau turut menyenaraikan produk penting, antaranya makanan dan minuman, barangan import, produk barangan rumah, farmaseutikal, dan peranti perubatan serta pembedahan.

Turut tersenarai adalah minyak dan gas, bahan dan produk kimia, elektrik dan elektronik serta bahan petrokimia.

“Justeru itu, rakyat jangan panik dan teruskan stay at home,” katanya.

Perintah Kawalan Pergerakan memasuki hari kedua hari ini dengan orang ramai diminta terus berada di rumah masing-masing bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Perintah Kawalan Pergerakan ini memerlukan kerjasama orang ramai agar tidak bergerak ke merata-rata tempat kecuali bagi membeli keperluan asas.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya berulang kali meminta dan merayu kepada seluruh rakyat supaya duduk diam-diam di rumah dalam tempoh 14 hari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam sehingga 31 Mac.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda