Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

SPEED 2020 Memacu Ekonomi Peniaga

By 9 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Nurulaini Mohd Kasran/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 9 Mac ( Malaysiaaktif ) – Seminar Perniagaan & Entrepreneur Digital 2020 (SPEED 2020) mampu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan para peniaga dan usahawan melalui penggunaan aplikasi teknologi yang bersesuaian dengan perniagaan mereka.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang, Hazlina Jalil dalam ucapannya berkata, dunia kini sedang melalui Revolusi Industri 4.0 di mana transformasi teknologi kini mengubah cara hidup dan suasana bekerja, malah turut memberi kesan kepada industri dan negara.

“Pihak Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) mengadakan seminar seumpama ini untuk membantu para peniaga agar dapat mengambil langkah yang proaktif dalam memberi respon terhadap perubahan ini.

“Sebagai contoh, pada masa kini para pengguna tidak perlu lagi membawa wang tunai yang banyak untuk segala urusan harian, mereka hanya perlu membuat transaksi pembayaran dengan menggunakan teknologi terkini e-wallet sahaja,” katanya lagi.

Tambah Hazlina, MPP turut menyediakan gerai-gerai dan ruang niaga di kawasan operasi dan turut aktif mempromosikan perniagaan yang dilaksanakan dengan menggunakan pelbagai platform dan program bagi memberi daya saing ekonomi di sesebuah kawasan tersebut.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Anugerah Premis Dinamik bagi tahun 2019 untuk menghargai peniaga-peniaga yang layak menerimanya di atas usaha yang dijalankan bagi meningkatkan kebersihan premis, komitmen bayaran sewaan dan kreativiti dekorasi premis.

Beliau juga turut menyempurnakan perasmian Laman Selera DU Kabin yang telah siap dibina pada Disember 2019 dan mula beroperasi pada Januari 2020 bagi menempatkan 12 penjaja yang telah dinaik taraf kepada konsep kabin.

Turut hadir, Setiausaha Majlis Perbandaran Pengerang Shamsul Ariff Sulaiman dan Pengarah Jabatan Penilaian Dan Pengurusan Harta Majlis Perbandaran Pengerang, SR Zulkepli Welang.

-NI-

Tinggalkan komen anda