Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Anggota Perubatan Antara Mangsa Korban COVID-19 Hari Ini

By 23 April 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/KKM

PUTRAJAYA, 23 Apr (Malaysiaaktif) – Dua kes kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 adalah seramai 95 orang iaitu 1.70% daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham, memaklumkan kes kematian pertama melibatkan seorang wanita berusia 32 tahun yang juga merupakan anggota perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19.

“Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 6 April lalu dan disahkan meninggal dunia hari ini (23 April) pukul 12.36 tengah malam dan merupakan kematian ketiga dalam kalangan anggota kesihatan KKM.

“Manakala kes kematian kedua merupakan seorang lelaki berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. Mangsa telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 8 April dan disahkan meninggal dunia pada 22 April, 11.48 malam,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, sehingga hari ini terdapat seramai 325 anggota KKM yang dikesan positif COVID-19 dan daripada jumlah tersebut sebanyak 185 kes telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar, manakala 137 sedang dirawat manakala tiga telah meninggal dunia.

“Kes-kes ini terdiri daripada 77 orang Pegawai Perubatan, jururawat (66), Pegawai Perubatan Siswazah (34), Pakar Perubatan (23), Penolong Pegawai Perubatan (21) dan lain-lain skim perkhidmatan (104).

“Berdasarkan siasatan, punca jangkitan bagi kesemua anggota KKM ini bukan disebabkan oleh pengendalian kes yang telah disahkan positif COVID-19 di fasiliti Kesihatan KKM,” tambahnya.

Tinggalkan komen anda