Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Bekalan Barangan Keperluan, Makanan di Perak Mencukupi

By 16 April 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 16 Apr (Malaysiaaktif) – Rakyat Perak dinasihatkan tidak membuat pembelian panik kerana bekalan barang keperluan di negeri ini mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan pemeriksaan harian oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengarah KPDNHEP Perak Saifullizan Kamarul Zaman berkata pemeriksaan ke atas pasar raya, peruncit, pemborong dan pengilang mendapati barang seperti telur ayam, gula, tepung, minyak masak, beras dan pelbagai barangan keperluan lain mencukupi dan mudah diperolehi.

“KPDNHEP Perak telah melantik 75 peruncit terpilih (DDR), 59 pemborong terpilih (DDW) dan 21 syarikat pembungkus minyak masak sebagai pusat bekalan barangan keperluan asas demi memastikan kestabilan bekalan di negeri ini.

“Pelantikan peruncit dan pemborong tambahan juga sedang dilaksanakan oleh KPDNHEP Perak dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Sepanjang tempoh PKP sehingga semalam, KPDNHEP Perak telah menjalankan pemeriksaan ke atas 1,595 premis perniagaan dan mengeluarkan tujuh notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

KPDNHEP Perak menyelesaikan sebanyak 93 aduan iaitu 75 peratus berkaitan harga dan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang keperluan, katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda