
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Seberang Perai Tengah)
BUKIT MERTAJAM, 3 Apr (Malaysiaaktif) – Noraini Aini Azmi bersama-sama kakitangannya tampil secara sukarela membantu menjahit penutup kepala untuk petugas barisan hadapan yang merawat pesakit COVID-19 di Hospital Seberang Jaya.
Noraini yang juga pemilik sebuah butik di sini berkata hasratnya itu mula terdetik apabila beliau membaca berita di media sosial mengenai petugas barisan hadapan yang menghadapi kekurangan peralatan serta pakaian yang bersesuaian untuk merawat pesakit, berbekalkan pengalaman menjahit selama lapan tahun beliau bertekad ingin turut sama membantu.

Wakil MPKK Taman Akasia Simpang 3 Kubang Ulu menyerahkan hijab yang telah siap kepada pihak Hospital Seberang Jaya.
“Projek ini mendapat perhatian daripada ramai pihak dengan syarikat tekstil, penduduk setempat serta orang ramai yang bermurah hati menyampaikan sumbangan yang diperlukan untuk menjahit penutup kepala ini dan para sukarelawan yang bersama-sama membantu seperti rakan-rakan, jiran serta pelanggan.
“Aktiviti menjahit dilakukan di rumah masing-masing dengan aplikasi WhatsApps digunakan sebagai medan untuk berhubung dan sebanyak 600 helai penutup kepala berjaya disiapkan,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.
Menurut Noraini, inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada Pengurusan Tertinggi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Akasia Simpang 3 Kubang Ulu dengan membantu mengagihkan penutup kepala berkenaan.
“Saya berharap dan berdoa agar usaha ini dapat membantu mereka bekerja dengan lebih selesa demi menyelamatkan negara dalam membenteras penularan wabak COVID-19 ini,” katanya lagi.
-SH