
Laporan/foto: Sumardi Sugiman (Limbang)
LIMBANG, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Kampung Mengatai dipilih sebagai tuan rumah Pesta Badudun dan Lumba Kerbau (PBDLK) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini, sekali gus meneruskan tradisi penganjuran acara warisan tahunan pelancongan di utara Sarawak.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pesta yang diadakan secara bergilir dalam kalangan kampung Melayu di daerah ini dijangka menarik kehadiran pengunjung dari seluruh Sarawak, Sabah serta Brunei Darussalam.
Menurut beliau, PBDLK merupakan antara acara yang tersenarai dalam kalendar pelancongan negeri dan terus mendapat sambutan pada setiap tahun.
“Pesta ini memberi ruang kepada pengunjung menyaksikan keunikan sukan lumba kerbau yang mencerminkan hubungan rapat masyarakat tani dengan alam sekitar serta sumber rezeki mereka.
“Pada tahun ini, Kampung Mengatai diberi penghormatan menjadi lokasi penganjuran pesta tersebut,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan lokasi penganjuran program semalam.
Beliau menjelaskan, penganjuran pesta itu bukan sahaja membantu memelihara warisan budaya etnik tempatan, malah merancakkan ekonomi luar bandar melalui kehadiran pelancong serta mengukuhkan hubungan masyarakat pelbagai kaum.
Dalam lawatan sama, Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota turut meninjau persiapan Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang 2026 (PMTKL) di Kampung Nauran yang akan berlangsung dari 31 Julai hingga 2 Ogos ini.
Jelasnya, pelbagai aktiviti menarik telah disusun bagi mengetengahkan warisan budaya masyarakat Kedayan di kampung tersebut.
Tambahnya, Limbang turut bakal menganjurkan beberapa acara lain sepanjang tahun termasuk Pesta Limbang, Pesta Kebudayaan Masyarakat Tionghua dan Pertandingan Tarik Tali Antarabangsa yang dijangka terus mengukuhkan kedudukan daerah itu sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan di utara Sarawak.
-RJ-




