Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19: Jumlah Zon Merah Kekal 30 Daerah

By 20 April 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 20 Apr (Malaysiaaktif) – Jumlah Zon Merah COVID-19 di seluruh negara kekal 30 daerah dengan 17 daripadanya mencatat jumlah kes aktif lebih 40 kes, setakat 12 tengah hari semalam, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM).

Berdasarkan infografik CPRC KKM yang dikongsikan melalui media sosial rasmi KKM hari ini, 17 Zon Merah itu membabitkan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masing-masing empat daerah, manakala Melaka (dua), Negeri Sembilan (satu), Johor (dua), Pahang (satu), Sarawak (dua) dan Sabah (satu).

Di Selangor, Zon Merah dengan jumlah kes aktif melebihi 40 adalah Petaling (111), Hulu Langat (106), Gombak (43) dan Klang (69); sementara di Kuala Lumpur, Cheras (41), Kepong (85), Lembah Pantai (343) dan Titiwangsa (57).

Manakala di Melaka melibatkan Jasin (42) dan Melaka Tengah (65); Seremban, Negeri Sembilan (129); Johor Bahru (73) dan Kluang (86) di Johor; Kuantan, Pahang (76); sementara Kuching (220) dan Kota Samarahan (56) di Sarawak serta Tawau, Sabah (42).

Zon Merah mewakili jumlah positif COVID-19 melebihi 41 kes, Zon Jingga (20-40 kes), Zon Kuning (1-19 kes) dan Zon Hijau tiada kes.

Negeri Selangor masih mencatat bilangan kes positif COVID-19 tertinggi iaitu 1,343 kes.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda