Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19; Satu Lagi Kes Kematian Direkodkan

By 7 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/KKM

PUTRAJAYA, 7 Apr (Malaysiaaktif) – Satu lagi kes kes kematian akibat COVID-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kematian sebanyak 63 kes keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes kematian tersebut melibatkan seorang lelaki berumur 71 tahun yang berasal dari Perlis yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan keagamaan di Sulawesi, Indonesia 17 Mac lalu.

“Pesakit telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hjh Kalsom, Johor pada 5 April lalu dan disahkan meninggal dunia sehari selepas itu dan sehingga tengah hari tadi, terdapat sebanyak 170 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,963 kes.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas perubatan dan kesihatan terutamanya mereka daripada barisan hadapan sama ada sektor kerajaan, swasta, sukarelawan dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGO) sempena Sambutan Hari Kesihatan Sedunia yang disambut hari ini.

“Sesungguhnya kesihatan adalah tanggungjawab kita bersama kerana setiap sektor adalah sektor kesihatan kerana pada hari ini, kita menyaksikan bagaimana setiap sektor memainkan peranan masing-masing yang kritikal dalam mengurus dan membendung wabak COVID-19 di negara ini.

“Dalam situasi getir ini, petugas-petugas di barisan hadapan dan belakang tabir sedang bekerja bertungkus lumus tanpa mengenal lelah, namun mereka terus cekal berjuang dan perjuangan ini kita perlu pikul bersama sehingga kita berjaya mengakhiri penularan pandemik ini,” tambahnya.

Tinggalkan komen anda