
Laporan/foto: Ramasamy Amas (Jempol)
JEMPOL , 11 Apr (Malaysiaaktif) – Kuil Sri Maha Muthu Mariamman Bahau menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan harian kepada lebih 450 keluarga yang kurang berkemampuan yang terjejas sempena arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan sejak tiga minggu lalu.
Menurut Pengerusi Kuil Sri Muthu Mariamman Bahau, S. Sivam, pengagihan bantuan tersebut mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Kami telah menerima lebih daripada 800 permohonan untuk mendapatkan bantuan, namun untuk fasa pertama ini hanya lebih kurang 450 keluarga sahaja diberikan bantuan dan selebihnyaakan diberikan pada fasa kedua dalam masa yang terdekat ini,” katanya ditemui di dewan kuil tersebut, di sini semalam.
Tambah Sivam lagi, bantuan tersebut turut diberikan kepada masyarakat kaum lain kerana bencana ini tidak terikat kepada satu bangsa atau satu kaum sahaja malah masyarakat sejagat juga terjejas dengan ancaman COVID-19 ini.
Sementara itu, Setiausaha Kuil Sri Muthu Mariamman Bahau merangkap Sami Hindu, Ramani Patto, berkata sumbangan daripada pihak individu dan ahli perniagaan juga telah diterima dan diagihkan melalui pihak kuil kepada masyarakat yang memerlukan bantuan.
“Setakat hari ini, sebanyak 250 bungkusan diterima dan diagihkan kepada keluarga yang kurang berkemampuan dan pihak kami berharap akan lebih banyak pihak yag berkemampuan untuk tampil memberikan sumbangan dalam membantu masyarakat sekitar,” ujarnya.
Manakala penerima bantuan, S. Ganesan, seorang mekanik, berkata sumbangan tersebut sangat bernilai kerana sejak PKP berkuatkuasa.
“Saya tidak dapat menjalankan tugas harian dan sebahagian wang simpanan saya telah habis digunakan dalam tempoh masa ini, jadi bantuan ini sedikit sebanyak dapat menampung keperluan harian keluarga saya,” jelasnya.
Sumbangan tersebut juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak kuil dari masa ke semasa di samping sentiasa berdoa agar keadaan negara kita pulih seperti sedia kala.
-AK