Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Lima Individu Langgar PKP, Cuba Bunuh Polis

By 5 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 5 Apr (Malaysiaaktif) – Lima individu ditahan polis selepas mereka bertindak melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan dan cubaan membunuh anggota polis dalam kejadian di Bandar Country Holmes, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Taware, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menjalankan tugas pemantauan lalu lintas di sekatan Jalan Country Homes menghala Jalan Kundang.

“Pihak polis terlihat beberapa orang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang mengalihkan batu konkrit sekatan jalan raya di lokasi tersebut.

“Ketika mendekati dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, dua suspek bertindak melarikan diri menaiki dua buah kereta berasingan.

“Seorang menaiki kereta jenis Honda City sementara tiga yang lain menaiki kereta Perodua Alza sambil mengundur dengan laju dan melanggar salah seorang anggota yang berada 50 meter dari lokasi menyebabkan cedera di tangan serta seluruh badan,” katanya.

Beliau berkata, turut ditahan seorang lelaki yang menaiki kenderaan berasingan selepas bertindak cuba merakam kejadian menggunakan telefon bimbit serta enggan memberikan kerjasama dengan polis dan bertindak agresif.

“Lima lelaki terbabit yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 27 tahun serta mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh serta menghalang tugas penjawat awam dan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit ((PPPPB) 2020,” jelasnya.

Tinggalkan komen anda