Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad (Terengganu)/Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Diman
HULU TERENGGANU, 13 Apr (Malaysiaaktif) – Pejabat Ahli Parlimen Hulu Terengganu menghulurkan bantuan kepada 168 petani dan penternak yang juga ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Diman dekat sini bagi memastikan mereka terbela berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik COVID-19 yang sedang melanda sekarang.
Sumbangan disampaikan oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid kepada Pengurus Besar PPK Bukit Diman, Ahmad Azhar Taib di PPK Bukit Diman di sini, hari ini.
Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, sumbangan berupa barangan keperluan harian seperti beras, tepung gandum, gula, biskut, minyak masak dan susu pekat manis itu diharap dapat meringankan beban petani dan penternak yang terjejas pendapatan berikutan tidak dapat memasarkan hasil tani dan ternakan mereka seperti biasa kerana mematuhi PKP yang kini dilanjutkan sehingga 28 April.
“Kami menyerahkan sumbangan ini ke Pejabat PPK Bukit Diman dan akan diagihkan kepada ahli PPK yang terkesan dalam kadar segera, kerana kami sedar kesukaran dan keresahan dialami golongan itu dan pengurusan PPK sudah mengambil langkah perlu untuk memasarkan produk mereka bagi mengelak kerugian lebih tinggi.
“Kebanyakan mereka terkesan kerana tidak dapat menjual dan memasarkan hasil tani serta ternakan mereka menyebabkan mereka mengalami kerugian dianggarkan ribuan ringgit seorang sepanjang tempoh PKP terutama pada fasa pertama bermula 18 Mac lalu.
“Tanaman seperti timun yang turut mengalami masalah lambakan bekalan tidak dapat dijual petani ketika PKP, jadi PPK telah mengambil inisiatif sewajarnya untuk membantu memasarkan produk mereka,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Beliau berharap petani dan penternak yang terjejas bersabar dan tidak bimbang kerana PPK akan sentiasa membantu memasarkan hasil tani dan ternakan mereka.
Rosol dalam pada itu turut memberi jaminan, semua petani dan penternak di kawasan Hulu Terengganu mendapat pembelaan sewajarnya sepanjang PKP ini dan berharap mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan pandemik COVID-19 tamat.
-ii-