Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

RaubBee Teroka Potensi Industri Madu Kelulut, Tarik Perhatian Pelbagai Agensi

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Izarina KMI/Juhaisa Azrin (Raub)

RAUB, 3 Julai (MalaysiaAktif) – Bermula dengan minat terhadap penternakan kelulut pada tahun 2015 di Felda Chemomoi, Bentong, seorang usahawan berjaya membangunkan perusahaan madu kelulut di Raub yang kini menarik perhatian pelbagai agensi kerajaan kerana potensinya sebagai sumber ekonomi berdaya maju.

Mula beroperasi di Raub pada tahun 2024, pengusaha RaubBee, Hishammuddin A. Hamid, 43, kini mengusahakan kira-kira 60 sarang kelulut melibatkan 10 spesies iaitu Torasika, Apikalis, Itama, Bighami, Terminata, Melina, Alicea, Gastra, Matahari dan Levecip.

Menurutnya, spesies Itama merupakan antara yang paling mendapat permintaan dalam pasaran dengan harga RM60 bagi botol 330 gram dan RM40 bagi botol 200 gram.

“Madu kelulut dituai setiap 40 hari bagi memastikan hasil yang diperoleh mencapai tahap kematangan optimum dan mengekalkan kualiti terbaik,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif kelmarin.

Beliau berkata kos permulaan perusahaan dianggarkan antara RM10,000 hingga RM15,000 bergantung kepada jumlah sarang dan spesies yang dipilih.

Bagaimanapun, beliau berkata gangguan monyet menjadi cabaran utama kerana haiwan tersebut sering merosakkan sarang kelulut sekali gus menjejaskan pengeluaran madu.

Di sebalik cabaran itu, kejayaan perusahaan RaubBee turut menarik perhatian pelbagai agensi kerajaan dan institusi yang mengadakan lawatan kelmarin, bagi meninjau potensi industri madu kelulut sebagai sumber ekonomi berdaya maju.

Lawatan yang diketuai Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Dato’ Sri Shahiruddin Ab. Moin, dan turut disertai wakil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Perbadanan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Pejabat Penerangan Daerah Raub, GIATMARA Pahang, Bank Rakyat serta usahawan muda sekitar Raub.

Sepanjang lawatan, para tetamu diberi penerangan mengenai pengurusan koloni kelulut, proses penghasilan madu serta potensi industri berkenaan untuk dikembangkan sebagai perusahaan yang mampu menjana pendapatan dan merancakkan ekonomi setempat.

Lawatan tersebut diharap dapat memperkukuh kerjasama strategik antara agensi dan usahawan tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pembangunan, memperluaskan akses pasaran serta meningkatkan pengiktirafan perusahaan madu kelulut RaubBee di peringkat yang lebih luas.

-AA-

Tinggalkan komen anda