Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Normal Baharu Perlukan Sistem Pendigitalan Lebih Menyeluruh – Muhyiddin

By 26 April 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 26 Apr (Malaysiaaktif) – Proses pendigitalan perkhidmatan kerajaan perlu lebih menyeluruh lagi bagi memudahkan rakyat menyesuaikan diri dengan normal baharu, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ia penting untuk dimanfaatkan rakyat termasuk dalam bidang pendidikan dan perniagaan sekaligus membawa ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih maju dan berkembang.

“Saya dimaklumkan, sistem e-kerajaan ketika ini mungkin baru 30-40 peratus. Maka saya sudah arahkan supaya kita segerakan dan percepatkan supaya dalam mana-mana keadaan masyarakat sekalipun, kalau kerajaan sudah mendahului maka rakyat akan menyesuaikan keadaan.

“Proses pendigitalan baik dalam soal pentadbiran kerajaan, dalam urusan perniagaan, dalam kehidupan harian ini akan menjadi satu trend masa depan kita dan saya kira kesan penggandaan akan berlaku.

“Ini satu perkembangan menggalakkan, satu trend baru dan saya kira kalau ekonomi Malaysia ke hadapan, ia tidak boleh seperti yang ada sekarang, mesti melihat dalam bentuk-bentuk baru seperti mana yang saya sebutkan tadi,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam satu temu bual khas yang disiarkan di RTM, Astro Awani, TV3 dan Bernama TV semalam.

Dalam temu bual selama 45 minit itu, perdana menteri turut menekankan pentingnya penyediaan infrastruktur pendigitalan yang baik kerana keadaan negara tidak lagi seperti dahulu ekoran penularan wabak pandemik COVID-19 dan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya, melalui sistem pendigitalan yang kukuh, ia mampu merubah masyarakat dalam berurusan seharian dengan peniaga kebun dan nelayan yang turut sama memanfaatkan teknologi ini dalam memasarkan produk perniagaan mereka.

“Inilah contoh normal baharu yang membawa impak kepada sistem pendigitalan negara. Ini juga salah satu cabaran baharu untuk kita bergerak ke hadapan. Keadaan akan kembali semula seperti dahulu tetapi dalam bentuk baharu,” tambahnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menarik perhatian, situasi normal baharu ini juga tidak bermakna Jemaah Kabinet tidak bekerja, sebaliknya memanfaatkan teknologi yang ada untuk berkomunikasi dan menjalankan tugas sebaik-baiknya.

“Dalam keadaan PKP ini, seharusnya mereka (menteri) duduk di rumah. Namun saya sudah keluarkan arahan mesti ada kerja-kerja yang harus dilaksanakan dan mereka harus datang ke pejabat. Kerana apa yang menjadi fokus kerajaan adalah isu COVID-19.

“Mungkin dalam keadaan sekarang ini, tidak banyak kenyataan-kenyataan dikeluarkan hinggakan rakyat ingat menteri tidak bekerja. Menteri bekerja dan dua bulan ni tidak ada gaji pun.

“Namun saya memberi jaminan bahawa Jemaah Menteri akan melaksanakan tugas sebagaimana yang diamanahkan untuk kepentingan rakyat walaupun dalam keadaan yang sukar, supaya waktu esok (akan datang) kita sudah mulakan balik kerja seperti biasa, tidak terganggu dengan bebanan tugas yang terlalu banyak sekali,” tambahnya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda