
Laporan/foto: Muhammad Naim Mohd Shaari/Ramasamy Amas (Jempol)
JEMPOL, 9 Apr (Malaysiaaktif) – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Jempol (MPJ) telah menjalankan operasi nyahkuman di beberapa kawasan tumpuan yang telah dikenalpasti bagi menyekat penularan COVID-19.
Penguasa Bomba Zon 3, Mohd Hafiz Mohd Shariff, berkata tumpuan diberikan di sekitar kawasan tumpuan orang ramai di Bandar Bahau.
“Kami memberikan tumpuan di kawasan hentian bas dan teksi, Pusat Perniagaan Kiara dan Pasar Borong kerana kawasan ini merupakan hotspot orang awam dengan harapan agar operasi ini akan dapat mengekang penularan virus COVID-19,” katanya ketika ditemui dalam operasi yang diadakan.
Tambah beliau lagi, operasi yang melibatkan seramai 40 orang anggota JBPM dan MPJ tersebut telah dijalankan dalam dua sesi iaitu pada sebelah pagi di enam kawasan terlibat dan malam di Bandar Bahau sepenuhnya, serta sebanyak kira-kira 450 liter cecair penyahkuman telah digunapakai dalam operasi ini.
Sementara itu, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Jempol, Raja Norazli Raja Nordin, berkata walaupun Jempol belum ditahap kritikal namun langkah berjaga-jaga perlu diambil dalam menyekat penularan COVID-19.
“Operasi ini juga akan diteruskan apabila keadaan memerlukan dan tidak akan berakhir disini sahaja,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong turut hadir memberikan penghargaan dan sumbangan kepada semua petugas.
Beliau menyeru agar orang ramai untuk memberi kerjasama kepada pihak kerajaan dengan mematuhi arahan PKP yang ditetapkan.
-AK