Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Zakat Fitrah Dibayar Atas Talian – MAINJ

By 21 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Shah Hood (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 21 Apr (Malaysiaaktif) –  Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah menetapkan Zakat Fitrah pada dua kadar bagi tahun 1441H/2020M setelah mendapat perkenan Sultan Johor.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi, penetapan kadar zakat fitrah adalah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh umat Islam di negeri ini pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

“MAINJ telah menetapkan dua kadar iaitu RM7 bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada Super Tempatan manakala RM10 bagi yang menjadikan makanan hariannya beras selain daripada Super Tempatan seperti Beras Wangi, Beras Basmathi dan lain-lain.

“Harga beras dan peratusan penggunaannya diperolehi daripada Bahagian Kawal Selia Padi Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani, pemborong dan peruncit yang ada di sekitar negeri ini,” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar Johor, semalam.

Tambah Tosrin, pelaksanaan pembayaran zakat fitrah di negeri ini akan dibuat secara dalam talian susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kaedah pembayaran yang dibuat secara dalam talian adalah lebih mudah dan selamat tanpa pembayar perlu bergerak ke luar dari rumah.

“MAINJ juga telah memutuskan bagi tahun ini, amil fitrah tidak akan ditugaskan membuat pungutan zakat fitrah bagi memastikan mereka tidak terdedah dengan jangkitan wabak COVID-19,” ujarnya.

Jelas beliau, rakyat negeri ini boleh membuat pembayaran zakat fitrah melalui tiga portal iaitu Zakat Johor Online Payment http://www.epayment.maij.gov.my, Portal Johor Online Payment (JOP) https://onlinepayment.johor.gov.my dan Portal SNAP N PAY Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

“Melalui kaedah imbas QR kod menggunakan telefon pintar, pembayar boleh membuat bayaran melalui 18 buah bank pilihan di mana setiap transaksi akan dikenakan caj bank sebanyak RM0.50.

“Bayaran boleh dibuat pada awal bulan Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum jam 8 pagi pada 24 Mei 2020 (sebelum Solat Hari Raya) bagi memastikan transaksi bayaran zakat diterima dengan sempurna,” ujarnya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa unjuran pungutan zakat fitrah bagi tahun 1441H/2020M adalah sebanyak RM15.9 juta dengan anggaran seramai 2.1 juta umat Islam di negeri ini akan menunaikannya.

“Pengiraan unjuran ini mengambil kira keadaan ekonomi semasa dengan mengambil nisbah 80 peratus akan membayar pada kadar RM7 dan 20 peratus pada kadar RM10,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda