
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 kepada waris mangsa kemalangan di Kilometer 402 Lebuh raya Utara-Selatan arah utara, 22 Mei lalu.
Mangsa, Mohd Shahrul Afendi Sapian, 37, meninggal dunia di tempat kejadian ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kilang Proton di Tanjung Malim.
Cek diserahkan Pengurus Perkeso Rawang, Zamri Draman kepada balu, Zailinda Sairani, 37, seorang pesakit kanser di kediaman ibunya di Batu Caves, hari ini.
Zamri berkata pihaknya mendapat maklumat kemalangan berkenaan menerusi media sosial dan terus menyemak status arwah serta menghubungi warisnya.
“Kematian arwah Shahrul adalah berkaitan perkerjaan iaitu dalam perjalanan ke tempat kerja, Perkeso akan bayar kadar pencen sebanyak 90 peratus daripada gajinya.
“Zailinda akan dapat manfaat pencen Faedah Orang Tanggungan berjumlah RM1,100 sebulan,” katanya.
Beliau berkata hasil semakan juga mendapati Zailinda adalah pencarum Perkeso ketika bertugas di sektor swasta dahulu dan layak membuat permohonan di bawah keilatan.
“Balu arwah adalah pesakit kanser, maka pihak kami akan merujuk Jemaah Doktor untuk permohonan keilatannya.
“Insya Allah, Perkeso akan bantu sebarang keperluan atau faedah-faedah mengikut kelayakannya,” jelasnya.
Sementara itu, Zailinda terharu menerima kunjungan Perkeso untuk menyerahkan faedah caruman suaminya.
“Pihak Perkeso telah menghubungi pada Rabu lalu untuk mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan dan memprosesnya.
“Terima kasih kepada kakitangan Perkeso yang membantu sebaik mungkin kerana saya masih dalam keadaan bersedih ketika itu.
“Saya sarankan agar masyarakat mencarum dengan Perkeso kerana banyak manfaat sekiranya berlaku kematian atau kemalangan,” katanya yang telah berkahwin tujuh tahun dengan arwah.
-NAZ