Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Solat Jumaat Dilaksanakan Mengikut Peraturan

By 30 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain (Alor Gajah)

ALOR GAJAH, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Setelah hampir tiga bulan tanpa aktiviti solat Jumaat disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19, akhirnya ibadat ini telah diadakan semula mulai semalam.

Tinjauan yang dilakukan di Masjid Al-Rasyidin, Alor Gajah mendapati sebanyak 40 orang jemaah dibenarkan untuk menyertai solat dan pelaksanaan solat Jumaat kali ini mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Semua jemaah telah diambil bacaan suhu dan memakai pelitup muka serta menjaga jarak sosial semasa di dalam masjid. Khutbah yang disampaikan diringkaskan dan perjalanan solat juga dipendekkan.

Menurut Imam 1 Masjid Al-Rasyidin, Yusfariman Bohari, pihak pengurusan telah mengambil setiap langkah yang diperlukan untuk pelaksanaan solat jumaat semalam.

“Pihak pengurusan telah memastikan setiap prosedur operasi standard dipatuhi dan kawalan pada hari ini akan dilakukan oleh pengurusan masjid dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujar beliau.

Para jemaah yang ditemui melahirkan rasa bersyukur atas pelaksanaan semula solat jumaat setelah sekian lama tidak diadakan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Mohd Osman Rabu, 43, pelaksanaan solat Jumaat kali ini amat dinantikan dan beliau berharap agar dapat diteruskan untuk aktiviti ibadat yang lain seperti solat lima waktu. “Pihak pengurusan masjid dilihat mampu untuk menjalankan kawalan terhadap pematuhan prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan diharapkan ibadat solat lima waktu dapat dijalankan selepas ini melibatkan ahli-ahli kariah,” katanya ketika ditemu bual.

Pelaksanaan solat Jumaat telah dibenarkan untuk diadakan semula di negeri Melaka bermula semalam atas keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bilangan 1/2020 bertarikh 13 Mei 2020.IMG-20200530-WA0021

-KN

Tinggalkan komen anda