
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/Infografik KKM
PUTRAJAYA, 31 Mei (Malaysiaaktif) – Sebanyak 23 kes telah pulih dan dibenarkan keluar hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dari adalah sebanyak 6,353 kes.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sebanyak 57 kes baharu dilaporkan dan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,819 kes.
“Daripada 57 kes baharu yang dilaporkan, 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, dan daripada 47 kes penularan COVID-19 di dalam negara, 43 kes adalah kes bukan warganegara di mana 24 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang dan 15 kes dikesan di Pahang yang merangkumi tiga kluster pekerja bukan warganegara, menjadikan kes penularan COVID-19 di dalam negara dalam kalangan warganegara adalah sebanyak empat kes sahaja.
“Tiada kes kematian berkaitan direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan, tabiat merokok mampu mengakibatkan pelbagai jenis penyakit serta boleh melemahkan sistem imuniti manusia, sekali gus meningkatkan risiko terhadap jangkitan bakteria dan virus termasuk semasa wabak COVID-19.
“COVID-19 adalah penyakit berjangkit yang menyerang terutamanya paru-paru. Merokok merosotkan fungsi paru-paru, justeru menjadikan badan kita lebih sukar untuk melawan Coronavirus dan penyakit-penyakit lain.
“Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), 21.3 peratus rakyat Malaysia dianggarkan merokok, maka mereka lebih terdedah kepada risiko komplikasi COVID-19 berbanding mereka yang tidak merokok. 86 kes daripada 115 kes COVID-19 yang telah meninggal dunia di Malaysia, didapati 19.8 peratus adalah terdiri daripada golongan perokok,” katanya lagi.