Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Dr Luqman Dilantik Mufti Baharu Wilayah Persekutuan

By 16 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA, 16 Mei (Malaysiaaktif) – Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) Dr Luqman Abdullah dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan kelapan yang baharu.

Perkara berkenaan disahkan menerusi Facebook Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang menerima kunjungan Dr Luqman selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pagi ini.

Menurut Dr Zulkifli, yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, majlis serah terima tugas antara beliau dan Dr Luqman berlangsung dalam suasana yang ringkas dan mahabbah.

“Saya berdoa kepada Allah SWT semoga dikurniakan kekuatan kepada Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan agar dapat melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin.

“Saya amat yakin, Sahibus Samahah Dr Luqman mampu untuk memimpin institusi fatwa di Wilayah Persekutuan yang memberi manfaat besar kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan. Sekalung tahniah saya ucapkan. Kepada Sahibus Samahah Dr, siru ‘ala barakatillah,” katanya.

Zulkifli turut memohon kemaafan kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan andai terdapat tutur kata, tindakan mahupun apa jua salah dan silap sepanjang tempoh enam tahun memegang jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini.

“Enam tahun memegang jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan memberi saya pengalaman baharu yang amat bermakna.

“Saya mohon maaf kepada semua umat Islam di Wilayah Persekutuan dan Malaysia amnya sekiranya terdapat tutur kata, tindakan mahupun apa jua salah dan silap sepanjang enam tahun sebelum ini,” katanya.

Berlaku kekosongan jawatan Mufti Wilayah Persekutuan selepas Dr Zulkifli dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sejak 9 Mac lepas.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda