
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)/ Gambar fail
IPOH, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru semua rakyat agar bersama-sama menghadapi krisis nasional pandemik COVID-19 bagi memastikan negara bebas daripada ancaman ini sepenuhnya.
“Warga wajib bersatu, menggabungkan fikiran, usaha, tenaga dan sumber untuk secara bersama mengambil tanggungjawab menghadapi dan mengatasi ujian yang satu dan pengorbanan setiap seorang daripada warga amat diperlukan untuk membolehkan negara menewaskan ancaman ini secepat mungkin,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak ke-14 di Dewan Negeri Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pagi tadi.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia terutama kakitangan di bidang klinikal yang menanggung risiko besar ketika bertugas merawat pesakit.
“Meskipun prasarana perubatan sektor awam di negara ini dan peralatan adalah sangat terbatas, namun dengan penentuan Ilahi, di samping berjaya meminimumkan bilangan kematian dan bilangan jangkitan, terbukti Kementerian Kesihatan mempunyai barisan petugas yang berpengetahuan dan berpengalaman selain amat berdedikasi dan komited dalam menyempurnakan amanah.
“Terima kasih juga kepada semua pihak terlibat termasuklah Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jawatankuasa Keselamatan Negeri, Pegawai Daerah dan penjawat awam yang berperanan sebagai petugas barisan hadapan.
“Begitu juga Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran dan badan-badan media yang berperanan menyampaikan maklumat, panduan dan nasihat melalui laporan dan siaran berita,” titah baginda.
-SH