Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)
IPOH, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengukuhkan ekonomi rakyat sebagai usaha susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah selaras dengan pelbagai inisiatif Kerajaan Persekutuan yang diumumkan untuk meminimumkan impak tersebut, kerajaan negeri turut memperkenalkan beberapa inisiatif bagi tujuan sama.
“Fasa pertama bantuan atau pakej rangsangan, melibatkan peruntukan hampir RM27 juta disasarkan bagi memenuhi keperluan kakitangan barisan hadapan serta rakyat yang terputus sumber pendapatan, antaranya dalam kalangan penjaja, peniaga kecil dan pekerja bergaji harian.
“Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mengagihkan hampir RM12 juta dana khas agihan zakat, khusus untuk mereka yang terjejas pendapatan dan para petugas yang terlibat secara langsung dalam menangani penularan wabak ini dan bantuan ini merupakan tambahan kepada agihan zakat sebanyak hampir RM185,000 yang sedia terkandung dalam bajet tahun 2020, yang diperuntukkan kepada lebih 81,000 asnaf,” titah baginda sempena Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak ke-14 di Dewan Negeri Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pagi tadi.
Baginda turut menasihati barisan pentadbir agar melaksanakan tugas dengan telus agar segala perancangan dapat dilaksanakan.
“Semangat kerjasama, persefahaman dan penyelarasan antara semua jentera pentadbiran di peringkat persekutuan sehinggalah penempatan, amat penting bagi memastikan bantuan sampai kepada rakyat yang sangat memerlukan, serta memastikan langkah pemulihan ekonomi dapat dilaksanakan secara bermakna lagi berkesan,” titah baginda.
-SH