Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kluster Baharu Dikesan di Tapak Pembinaan dengan 44 Kes

By 26 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: KKM

PUTRAJAYA, 26 Mei (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kluster baharu di tapak pembinaan di Kuala Lumpur dengan 44 kes dilaporkan semalam.

Tanpa memberikan maklumat lanjut berkenaan kluster itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menggesa syarikat pembinaan supaya memberi perhatian bukan sahaja kepada prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja tetapi juga kepada penempatan pekerja.

“Daripada kajian kami (KKM) besar kemungkinan pekerja asing yang bekerja duduk di tempat tertutup atau ruangan sempit. Itu menjadi faktor utama jangkitan menular dalam kalangan mereka,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini semalam.

Dr Noor Hisham berkata walaupun SOP di tapak pembinaan ada, tetapi syarikat pembinaan hanya menumpukan kepada tempat bekerja sahaja.

“Apa yang penting lihat kepada penempatan mereka (pekerja) iaitu rumah dan cara mereka duduk. Contohnya di Masjid India, satu flat yang kecil ada 30 orang tinggal bersama,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata syarikat pembinaan harus melihat kepada faktor lain selain mematuhi SOP kerana ruangan sempit adalah antara penyebab virus berjangkit.

“Kami (KKM) percaya ruang sempit adalah satu faktor penting perlu perhalusi dan lihat bagaimana boleh laksanakan penjarakan sosial. Hari ini kita tidak ada vaksin, tetapi ‘vaksin’ yang ada ialah penjarakan selamat,” katanya.

Sementara itu, ditanya kebimbangan pertambahan sisa klinikal susulan pandemik COVID-19, Dr Noor Hisham berkata setakat ini tiada masalah dari segi pengurusan sisa klinikal kerana ia dilakukan mengikut garis panduan.

Jelasnya setiap hospital dan klinik kesihatan akan mengurus sisa klinikal dan seterusnya gunakan khidmat luar pengurusan sokongan di KKM.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda