Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Sultan Perak Berkenan Rasmi Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak ke-14

By 12 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)

IPOH, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Keempat Belas di Dewan Negeri Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pagi tadi.

Sultan Nazrin menuntut mereka yang telah diberikan amanah mentadbir negeri agar menjalankan tugas dengan berintegriti.

“Beta mahukan sebuah pentadbiran yang amanah dan berintegriti yang hendaklah sentiasa menjunjung harapan rakyat yang mahukan barisan pemimpin yang bersih dan tidak menyalahgunakan kuasa.

“Berpada-padalah berpolitik, berpolitik biar ada sempadannya, kebajikan rakyat jangan dikorbankan dan masa hadapan negeri jangan dimusnahkan kerana kepentingan peribadi, kerana percaturan politik yang keterlaluan, atau kerana dorongan sifat tamak dan haloba untuk mengumpulkan kekayaan diri, bagaikan tidak mengenal batasan,” titah baginda semasa merasmikan mesyuarat tersebut.

Baginda turut menasihatkan agar perjalanan mesyuarat dilaksanakan dalam keadaan mengikut tatacara pengendalian piawai (SOP) yang ditetapkan dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19.

“Istiadat perasmian diringkaskan, dan tempoh mesyuarat dipendekkan, sekadar memenuhi keperluan asas perlembagaan dan perundangan; kehadiran petugas, begitu juga pemerhati turut dihadkan seminimum yang mungkin dalam suasana dunia sedang menghadapi ancaman penularan virus ini,” titah baginda lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda