Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

UIAM Universiti Pertama di Malaysia Tersenarai Dua Anugerah Lestari Antarabangsa

By 28 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/UIAM

GOMBAK, 28 Mei (Malaysiaaktif) – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi universiti yang pertama di negara ini tersenarai sebagai finalis untuk dua penganugerahan antarabangsa.

UIAM disenaraikan dalam Anugerah Green Gown Antarabangsa bagi kategori Institusi Lestari Terbaik Dunia dan Anugerah Menafaatkan Masyarakat (Benefitting Society) menerusi program LIGHT (Leadership, Intuititive, Giving, Humility, Tenacity) yang dianjurkan oleh Kulliyyah Senibina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED).

Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, berkata ianya merupakan satu pengiktirafan yang besar buat universiti tersebut dalam usaha untuk melakukan transformasi institusi untuk kelestarian.

“Transformasi ini adalah untuk mencapai tiga objektif utama, iaitu untuk menjadikan UIAM sebagai institusi yang lestari, sejahtera serta memperkasakan masyarakat sekitar.

“Ianya merupakan pengiktirafan yang tertinggi diberikan kepada institusi pengajian tinggi yang menjalankan usaha kelestarian bagi mencapai objektif kelestarian global Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, anugerah tersebut mendapat sokongan dari United Nation (UN) Environment, International Association of Universities (IAU) dan The Association of Commonwealth Universities (ACU).

“UIAM di senarai akhir bersama 12 universiti lain termasuk dari Australia, Britain, Columbia, Mexico dan Peru menerusi senarai yang dikeluarkan di laman sesawang organisasi tersebut pada 26 Mei 2020.

“Anugerah ini diberikan kepada universiti dari seluruh dunia sebagai pengiktirafan atas usaha yang dijalankan dalam membangunkan kelestarian didalam negara sendiri dan yang memberikan impak kesejahteraan untuk komuniti setempat,” jelas beliau.

Menurutnya, program tersebut membawa pendekatan komuniti antara para pelajar dan ahli akademik yang terdiri dari pelbagai disiplin, terlibat dalam program-program komuniti dalam menghasilkan produk warisan budaya di sekitar Gombak.

“Ia juga sebagai salah satu platfom pembelajaran yang sangat dinamik bagi para pelajar untuk menerapkan kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi di dalam kelas ke dunia luar.

“Pemenang tahun ini akan diumumkan pada 8 Julai nanti sempena dengan ‘United Nations High Level Political Forum’ yang diadakan secara maya,” katanya.

-NAZ

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda