Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Johor Salur Bantuan Pasca COVID-19 

By 29 Jun 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zuriatina Tamat (Johor) 

KLUANG, 29 Jun (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri bersetuju menyalurkan bantuan kewangan kepada pesakit dan waris pesakit yang meninggal dunia akibat jangkitan wabak COVID-19 bagi meringankan impak ekonomi yang dihadapi sebagai langkah keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.

Menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, bantuan sekali beri berjumlah RM2,000 ini diberikan kepada semua pesakit positif COVID-19 dan RM5,000 kepada waris pesakit yang telah meninggal dunia.

Sebanyak RM456,000 telah diserahkan kepada Pegawai Daerah Kluang Ismail Abu untuk diberikan kepada mangsa COVID-19 di daerah ini, semalam.

Hasni turut memaklumkan bahawa negeri ini mampu bangkit semula menjadi kuasa ekonomi di negara ini walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kelembapan ekonomi ekoran penularan wabak COVID-19.

“Johor memiliki potensi besar serta kecekapan pentadbiran yang berupaya mencapai matlamat mengembalikan kemajuan ekonomi negeri.

“Kita amat yakin dan percaya, Johor adalah sebuah negeri yang mempunyai potensi untuk menjadi sebuah negeri maju dan berjaya yang mana haruslah kita usahakan, haruslah kita jadikannya matlamat kita, katanya ketika berucap di Sekolah Kebangsaan Kampung Dato Ibrahim Majid, di sini semalam.

Datuk Ir Hasni Mohammad menyampaikan sijil penghargaan kepada Dr Azura Abu Bakar

Datuk Hasni Mohammad menyampaikan sijil penghargaan kepada Dr Azura Abu Bakar

Pengarah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang, Dr Azura Abu Bakar berkata Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang yang diisytihar sebagai hospital COVID-19 telah menerima suntikan dana daripada Kerajaan bagi tambahan 34 buah katil untuk kegunaan di wad kritikal.

“Pihak hospital telah menggunakan 63 peratus kekuatan fasiliti hospital untuk merawat pesakit COVID-19 dan juga pesakit lain yang ditempatkan di sini.

“Kami juga turut menerima bantuan dari pelbagai pihak untuk keperluan para petugas seperti Personel Protective Equipment (PPE) dan keperluan hospital untuk digunakan semasa pandemik COVID-19,” katanya.

Menurut seorang bekas pesakit COVID-19 dari Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM), Anida Basri, 51, beliau berasa bersyukur dengan semua bantuan yang diterima bagi meringkan beban dia dan keluarga khususnya dan kepada penduduk BBIM secara amnya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kawasan ini.

“Namun begitu, saya berasa agak sedih kerana ayah saya merupakan salah seorang pesakit yang terkorban akibat wabak COVID-19 setelah hampir sebulan beliau melawan pandemik ini.

“Saya turut terharu dengan keprihatinan Menteri Besar Johor dan kerajaan negeri dalam turun padang membantu meringankan beban kami sekeluarga dan sudi melawat ke rumah waris mangsa COVID-19,” ujarnya.

-NI-

Tinggalkan komen anda