
Laporan/foto: Farah Diana Azman (Melaka)
MELAKA, 5 Jun (Malaysiaaktif)– Kerajaan Negeri Melaka melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19 Negeri Melaka memutuskan, kebenaran makan di dalam premis makanan, restoren dan kedai makan.
Menurut kenyataan media Pejabat Ketua Menteri Melaka, keadaan semasa wabak Covid-19 di negeri Melaka ketika ini menunjukkan tahap yang semakin baik dengan jumlah positif hanya mencatatkan satu angka sahaja sejak beberapa minggu lepas.
Kerajaan Negeri Melaka amat prihatin dengan nasib rakyat yang terkesan dengan penularan Covid-19 yang menyebabkan sebahagian daripada mereka kehilangan pendapatan terutama yang bekerja sendiri dan bergaji harian.
“Semua restoran atau kedai makan berpremis sudah dibenarkan untuk makan dalam premis terhad sehingga jam 10 malam sahaja termasuk bagi premis yang dibenarkan beroperasi 24 jam sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 dan bufet adalah tidak dibenarkan.
“Perniagaan atau penjajaan tanpa premis adalah kekal untuk operasi secara bawa pulang atau penghantaran sahaja.
“Walau bagaimanapun, kebenaran yang diberikan masih tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.
“Susun atur dalam premis juga mestilah mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu jarak dua meter antara meja dan setiap meja dimuatkan tidak melebihi empat orang semeja. Manakala premis perlu menyatakan dengan jelas bilangan pelanggan yang dibenarkan pada satu-satu masa.
“Kerajaan Negeri Melaka berharap dengan kebenaran terbaharu ini akan dapat merancakkan semula aktiviti ekonomi negeri Melaka terutama dalam sektor makanan dan minuman,” menurut kenyataan tersebut.
-KN