Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kes Baharu Naik Dua Angka kepada 31 Kes, Tiada Kematian

By 12 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 12 Jun (Malaysiaaktif) – Selepas mencatatkan jumlah kes baharu terendah pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, jumlah kes baharu positif COVID-19 hari ini kembali meningkat kepada dua angka dengan 31 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,369 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,186 kes.

“Daripada 20 kes penularan di dalam negara, 11 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, 19 kes adalah bukan warganegara dan hanya satu kes adalah kalangan warganegara Malaysia iaitu merupakan kes di Selangor bagi saringan pusat tahfiz,” katanya dalam sidang media perkembangan harian COVID-19 semalam.

Jelas Dr Noor Hisham, bagi 19 kes dalam kalangan bukan warganegara sebanyak 16 kes Kluster Pedas di Negeri Sembilan manakala Kluster Kampung Sungai Lui, Selangor, Kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur masing-masing mencatatkan satu kes.

Selain itu, beliau memaklumkan satu kes saringan melibatkan pekerja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu, sebanyak 51 kes telah pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj 7,065 kes (84.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, lima kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Jelasnya, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 118 kes.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berterima kasih kepada pengamal media termasuk wartawan, jurugambar serta jurubahasa isyarat yang memainkan peranan utama sebagai barisan hadapan dalam memberikan maklumat sahih serta memerangi berita palsu COVID-19.

“Pelbagai platform media massa, media sosial dan media baharu telah digunakan bagi memastikan orang ramai sentiasa dimaklumkan dengan maklumat dan berita yang tepat, cepat dan sahih mengenai wabak COVID-19.

“Kementerian Kesihatan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan dalam bidang kewartawanan yang telah memainkan peranan yang sangat besar sebagai barisan hadapan dalam menyampaikan situasi sebenar COVID-19 kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut memuji warganet yang menjalankan tanggungjawab sosial mereka dengan memuat naik dan menyebar maklumat tepat dan sahih mengenai COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta maklumat berkaitan yang disalurkan oleh kerajaan.

“Namun begitu, terdapat segelintir netizen yang tidak bertanggungjawab dan menyebar maklumat palsu, fitnah dan lebih serius ada juga yang menghasut orang ramai untuk tidak akur kepada peraturan dan nasihat yang diberikan,” katanya.

Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai agar berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan boleh menyalurkan maklumat kepada Pasukan Respons Pantas di talian 03-8911 5103 atau layari laman sesawang www.sebenarnya.my untuk menyemak kesahihan berita.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda